Test

Sabtu, 25 November 2017 | 

Profil Korporat

Pembukaan rasmi Planetarium Negara pada tahun 1994 menandakan satu era baru dalam bidang sains dan teknologi angkasa bagi Malaysia.  Acara ini bukan sahaja menarik perhatian seluruh negara pada rekabentuk dan seni bina bangunan yang unik malah kemudahan di Planetarium Negara juga turut menonjolkan komitmen serius kerajaan dalam pembangunan sains dan teknologi angkasa.

Ditubuhkan sebagai Bahagian Planetarium di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1989, pembinaan kompleks Planetarium Negara bermula pada tahun 1990 dan siap sepenuhnya pada tahun 1993. Pelancaran pembukaan bangunan ini kepada orang ramai telah diadakan pada bulan Mei 1993 dan seterusnya telah dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 7 Februari 1994.  Pada bulan Julai 1995 iaitu selepas satu setengah tahun beroperasi, Bahagian Planetarium telah dipindahkan ke Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar sebagai Bahagian Kajian Sains Angkasa (BAKSA).

Mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan, Planetarium Negara yang menempatkan sebuah teater yang dilengkapi dengan skrin dengan kubah bentuk geodesi yang cengkung.  Pembinaan reka bentuk unik teater ini merupakan satu cabaran yang besar kepada arkitek, jurutera dan kontraktor binaan bangunan.  Tuntutan keperluan planetarium dan projektor filem berformat besar memberi cabaran yang lebih menggerunkanapabila banyak kesukaran terpaksa diatasi dan ia mengambil masa dua tahun sebelum semua peralatan dan bahan binaan ditauliahkan sebagai berjaya dan boleh digunakan sepenuhnya.  Memandangkan pelbagai kerumitan perlu diatasi dan diselaraskan, negara terpaksa menerima hakikat bahawa Malaysia pada ketika itu tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam pelbagai aspek kerja yang perlu diberi perhatian.  Kejayaan menyiapkan kompleks dan pentauliahan semua peralatan dengan kelewatan yang minimum adalah satu pencapaian yang cemerlang kepada negara.

Di sebalik kesukaran yang dihadapi, Planetarium Negara berjaya menyampaikan rancangan pendidikan dan menghiburkan mengenai astronomi, pencerapan langit malam dan pelayaran angkasa kepada pelajar sekolah dan orang ramai.  Satu ciri dominan planetarium adalah skrin unjuran berbentuk kubah besar yang kompleks bagi memaparkan bintang-bintang, planet-planet dan objek-objek angkasa dengan gerakan secara simulasi realistik.  Program ini dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran terhadap sains dan teknologi angkasa dikalangan masyarakat.   Sehingga kini Planetarium Negara memainkan peranan penting dalam mempromosikan sains angkasa kepada masyarakat dan membawa Malaysia ke arah pembangunan dan pembudayaan Sains, Teknologi , Matematik dan Kejuruteraan (STEM) dalam kehidupan seharian.

Planetarium Negara 
sebelum pelancaran rasmi pada Februari,1994

 

Planetarium Negara  
sebelum pelancaran rasmi pada Februari,1994

 

 

Planetarium Negara  
  pada Februari,1994 

 

Semasa majlis pelancaran pada
 7 Februari 1994 oleh
Y.A.B Tun Dr. Mahathir Mohamed.